Friday, 17 June 2016

MULVEY GEMBIRA PERSEMBAHAN PEMAIN DALAM SESI LATIHAN


Ketua jurulatih Terengganu, Mike Mulvey menyatakan rasa gembira dan puas hati dengan persembahan pemain-pemain sewaktu sesi-sesi latihan skuad Sang Penyu di sepanjang bulan Ramadhan ini.

Semalam para pemain Terengganu berlatih di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di waktu malam buat kali pertama sejak mereka kembali ke padang latihan pada hari khamis.

Sebelum ini mereka hanya berlatih di waktu siang berikutan pihak pengurusan Kompleks Sukan Negeri hanya memberi kebenaran mereka menggunakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebanyak tiga kali seminggu sahaja.

Sewaktu sesi malam barulah barisan kejurulatihan Terengganu boleh melakukan latihan yang lebih intensif berbanding di waktu siang di bulan puasa ini namun buat Mulvey ianya cabaran yang harus dihadapi untuk mempersiapkan skuad menghadapi baki cabaran Liga Malaysia musim ini.

Beliau menyatakan rasa puas hati dan gembira apabila para pemainnya yang berpuasa memberikan hampir sepenuh tenaga mereka walaupun ketika itu mereka sudah lebih 12 jam tidak menjamah makanan dan minuman.

“Saya gembira mereka memberikan sepenuhnya dalam setiap sesi yang diadakan dan ini akan membolehkan mereka akan berada dalam keadaan terbaik apabila saingan bermula semula, sekiranya mereka meneruskan komitmen sebegini.”

Hari ini skuad Terengganu berehat dan akan kembali semula ke padang latihan malam esok.

MULVEY: KITA PERLU POSITIFKAN PEMIKIRAN



Ketua jurulatih Terengganu, Mike Mulvey ingin semua personel dalam skuad Terengganu membawa pemikiran positif apabila mereka membuat persediaan untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2016 yang akan bermula pertengahan Julai nanti.

Skuad Terengganu kembali ke padang latihan semula pada hari khamis selepas mereka diberi cuti sebaik sahaja berakhir perlawanan Liga Super menentang T-Team FC pada 21 Mei yang lalu.

Dengan saingan Piala Malaysia 2016 juga akan bermula bersama dengan baki saingan Liga Super, jadual perlawanan semua pasukan kelihatan padat dengan setiap pasukan akan mengharungi 14 perlawanan dalam tempoh 46 hari dari pertengahan Julai sehingga akhir Ogos.

Buat Mulvey, ianya penting untuk para pemain untuk membina semula stamina mereka untuk menghadapi jadual yang padat itu di mana tiada ruang untuk mereka berlatih di antara satu-satu perlawanan.

Sebaliknya tempoh itu digunakan untuk pemulihan sebelum para pemain turun untuk perlawanan seterusnya.

Skuad Terengganu hanya boleh menjalani latihan sebanyak tiga kali sahaja di waktu malam berikutan keputusan oleh pengurusan Kompleks Sukan Negeri, sesuatu yang tidak ideal buat Mulvey dan barisan kejurulatihan yang lain.

Selebihnya para pemain Terengganu terpaksa menjalani latihan di waktu petang dan di bulan Ramadhan, ianya sesuatu yang akan mencabar kekuatan mental pemain-pemain yang berpuasa.

Mulvey memaklumkan juga bahawa Terengganu akan mengadakan beberapa perlawanan latihan menentang pasukan Sabah, UiTM FC dan dua kali bertemu dengan T-Team FC.

AMIRUL SYAHMI JALANI PEMBEDAHAN


Penyerang muda Terengganu, Amirul Syahmi selamat menjalani pembedahan untuk mengatasi kecederaan pergelangan kakinya yang membelenggunya sejak awal musim.

Beliau yang membuat penampilan kompetitif sulung untuk Terengganu dalam perlawanan Liga Super 2016 menentang Pulau Pinang mengalami kecederaan tersebut dalam perlawanan persahabatan pra-musim menentang UiTM FC di Stadium Matsushita, Shah Alam.

Kecederaan tersebut disangka tidak serius pada mulanya membolehkan beliau beraksi bersama Sang Penyu.

Ketua jurulatih Terengganu, Mike Mulvey mempunyai keyakinan terhadap kemampuan Amirul dan meletakkan beliau dalam kesebelasan permulaan ketika menentang Pahang FC di Kuantan.

Kepercayaan tersebut dibalas oleh Amirul yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut membolehkan Terengganu membawa pulang tiga mata ke Kuala Terengganu.

Namun kecederaan tersebut mula menganggu persembahan Amirul yang menyaksikan beliau tidak mampu menunjukkan konsistensi yang diperlukan untuk mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama.

Akhirnya beliau bersetuju untuk menjalani pembedahan sebagai salah satu jalan untuk mengatasi kecederaan tersebut dan ianya telah dilakukan oleh pakar ortopedik di Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Gan Eng Chen.

Pembedahan tersebut dianggap berjaya namun buat Amirul dia terpaksa menunggu sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih sepenuhnya dan kembali semula merebut tempat dalam barisan permulaan Terengganu.

Ini bermakna beliau boleh melupakan impian untuk beraksi lagi musim ini. Sebaliknya Amirul harus menumpukan sepenuh perhatian kepada proses rehabilitasi dan kembali bersaing untuk menjadi pemain utama musim depan.



AMIRIDZWAN TAJ & PBSNT CAPAI KATA SEPAKAT TAMATKAN KONTRAK


Hari ini Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Amiridzwan Taj mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak mereka berkuatkuasa esok.

Bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan itu dibawa masuk untuk memperkuatkan barisan pertahanan Terengganu dalam cabaran Liga Malaysia 2016 tetapi kecederaan menghalang beliau dari membuat sebarang penampilan kompetitif bersama dengan Sang Penyu.

Kekosongan di bahagian pertahanan ini mungkin akan menyaksikan pengendali Terengganu, Mike Mulvey membawa masuk seorang pemain pertahanan yang lain ketika jendela perpindahan sedang dibuka ini.

HAJI ARPIN BERSARA



Selepas tiga tahun menabur khidmat bersama dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebagai Setiausaha Agung, hari ini Haji Arpin Draman menjalankan tugasnya buat kali terakhir selepas persaraannya akan berkuatkuasa mulai esok, 1 Jun 2016.

Beliau memaklumkan dalam pertemuan dengan kakitangan PBSNT bahawa keputusan tersebut telah dibuat lebih sebulan yang lalu kerana masalah kesihatannya yang tidak mengizinkan untuk menjalankan tugas dengan sempurna.

Makluman berkaitan perkara tersebut telah dibuat kepada Presiden PBSNT, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid. Walaupun beliau diminta untuk menimbang semula keputusan tersebut, Haji Arpin menegaskan ianya ialah keputusan muktamad beliau.

Beliau dalam pesanan kepada kakitangan PBSNT yang masih terus bertugas agar terus menjaga intergriti masing-masing dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan peruntukan dari pihak kerajaan negeri yang menjadi sumber utama dana PBSNT dibelanjakan sebaiknya dan tidak meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai agenda utama.

Salah satu kejayaan Haji Arpin sebelum menjadi Setiausaha Agung PBSNT ialah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) 2008 di mana Terengganu menjadi tuan rumah. Ianya satu kejayaan besar untuk Terengganu dalam pungutan pingat dan juga aspek penganjuran.

Pihak PBSNT akan membuat pengumuman berkaitan perlantikan Setiausaha Agung yang baru dalam masa yang terdekat.

TARIKH PERLAWANAN MENENTANG KELANTAN & PDRM DIUBAH



Tarikh untuk dua perlawanan Liga Super 2016 yang melibatkan pasukan Terengganu dalam bulan Julai telah diubah di atas sebab-sebab teknikal selepas permohonan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kepada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) diterima hari ini.

Perlawanan pertama yang terbabit ialah Terengganu menentang Kelantan yang dijadualkan berlangsung pada hari sabtu, 16 Julai telah diawalkan kepada hari jumaat, 15 Julai.

Perlawanan kedua ialah Terengganu menentang Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang dijadualkan pada hari selasa 26 Julai telah ditunda ke hari rabu, 27 Julai.

Venue kedua-dua perlawanan masih kekal di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus.